Park bersara aksi antarabangsa
Pemain tengah Manchester United, Park Ji-Sung berkata, dia akan bersara daripada menggalas tugas antarabangsa Korea Selatan, bagi memberi laluan kepada pemain muda yang berbakat besar untuk diketengahkan.
Park, yang memiliki 100 cap dan bermain dalam tiga Piala Dunia, secara rasmi mengesahkan pengunduran dari pentas antarabangsa selepas jurulatih kebangsaan Cho Kwang-Rae mengumumkan berita tersebut Jumaat lepas.
Bagaimanapun, pemain berusia 29 tahun itu berkata, dia masih belum memutuskan tarikh persaraan sebagai pemain profesional dan merancang untuk beraksi sekurang-kurangnya tiga atau empat tahun lagi.
Park memberitahu, ia merupakan satu penghormatan tertinggi kerana diberi peluang mewakili negaranya selama 11 tahun.
"Saya bersara bagi membuka laluan kepada pemain muda untuk mengisi kekosongan yang saya tinggalkan.
"Seperti yang kita saksikan ketika perlawanan Piala Asia, ramai pemain muda Korea yang berpotensi dan berbakat besar untuk diketengahkan seperti Koo Ja-Cheol, Ji Dong-Won dan Son Heung-Min.
"Peluang ini seperti mana yang saya peroleh ketika beraksi pada Piala Dunia 2002. Saya fikir ia merupakan satu keperluan untuk memberi peluang terbaik kepada pemain muda menerusi perubahan generasi," katanya.
Park pernah ditimpa masalah kecederaan pada lutut kanan, yang memaksa pemain itu menjalani dua pembedahan dan berkata, faktor tersebut juga antara punca kepada keputusannya itu.
Pemain itu diketepikan ketika Korea Selatan mencatat kemenangan ke atas Uzbekistan, Jumaat lalu yang membolehkan mereka menggondol tempat ketiga pada Piala Asia.
Dia memberitahu, perjalanan jauh dari England ke Korea Selatan dan juga ke lokasi lain untuk aksi antarabangsa turut mendorongnya membuat keputusan tersebut, tetapi, tidak menolak mewakili pasukan negaranya.
"Saya rasa jika bukan kerana masalah kesihatan, saya masih mampu untuk meneruskan karier antarabangsa saya.
"Namun saya perlu menerima situasi ini seadanya dan saya tidak menyesal,'' katanya.
Tambahnya, dia tidak merancang untuk kembali beraksi di pentas antarabangsa bagi menyertai Piala Dunia di Brazil.
"Walaupun Korea Selatan layak ke Piala Dunia 2014, pemain yang berusaha membantu pasukan untuk ke kejohanan itu yang sepatutnya diberi peluang mewakili negara.
"Persaraan saya akan membuka peluang yang lebih luas kepada pemain-pemain muda untuk mempamerkan bakat serta keupayaan mereka pada Piala Asia sebagai persediaan ke Piala Dunia."
P/S
Bagus jugak keputusan yang diambil tu.. Jadi boleh la kamu menumpukan sepenuh focus yang lebih kepada pasukan Manchester united..
BERUSAHALAH




